Thursday, September 10, 2009

Ramadhan di Sana..


Tak dapat alfagerah bayangkan kira-kira bagaimana kerinduan mereka yang pernah melalui hari-hari Ramadhan di bumi Tareem. Dikhabarkan mereka di sana ada yang solat sunat hingga seratus rakaat dalam satu malam. Ikhwahnya bergerak dari satu masjid ke masjid yang lain secara berkumpulan dalam memeriahkan malam-malam Ramadhan. Hantarkan hamba ke sana Tuhan, Allahumma ameen.. Ya Tareem wa ahlaha.. ya Tareem wa ahlaha.. ya Tareem wa ahlaha..

Mereka yang melalui Ramadhan di Makkah Al-Mukarramah apatah lagi. Bergantian solat dan tawaf mengelilingi Ka’abah bersama tetamu-tetamu Allah yang lain dengan dijanjikan ganjaran pahala yang luar biasa! Allahu Allah.. Sampaikan kami ke sana Ya Allah! Juga mereka yang menempuh Ramadhan di Madinah Al-Munawwarah, di bumi yang di sana bersemadi jasad Saiyyiduna Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa aalihi wa shohbihi wa sallam yang dengan rahmat Baginda-lah kita semua bisa mendapat kelebihan ummat Nabi Terakhir sallallahu ‘alaihi wa aalihi wa shohbihi wa sallam. Dengan rahmat Baginda juga kita dapat melalui Ramadhan yang diberkati dengan dijanjikan dengan kelebihan yang banyak sekali! Hantarkan kami ke sana Tuhan! Allahumma sholli wa sallem wa baarik ‘alaihi wa ‘ala aaleh~

Sungguh alfagerah rindu Ramadhan alfagerah di bumi UIA. Beberapa tahun melalui bulan tarbiyah ini di kampus membuatkan hati alfagerah begitu dekat. Di sana manusia berlumba-lumba mengumpul kebajikan. Dimana-mana manusia berebutan menghabiskan bacaan al-Quran. Di sana juga manusia banyak memilih untuk beriktikaf di masjid sejak dari awal Ramadhan dan khususnya pada 10 malam terakhirnya. Bukan sesuatu yang pelik di sana bila dimana-mana, pada bila-bila masa manusia akan membuka naskah Al-Quran mereka dan melanjutkan bacaan masing-masing hatta di bus-stop sekalipun! Tika menunggu waktu berbuka juga, ramai yang masih meneruskan bacaan mereka, berdzikir dan banyak berdoa. Tapi kini kami jauh. Hanya kenangan itu yang dibawa.

Hari-hari Ramadhan di sana dilalui dengan lebih berhati-hati kerna kita semua berada didalam bi’ah yang baik. Dikelilingi orang-orang yang baik. Diulangi peringatan-peringatan yang baik. Melihat contoh-contoh yang baik dan sebagainya. Kuliyyah-kuliyyah ilmu juga meriah Alhamdulillah. Malam-malam terakhir Ramadhan pensyarah-pensyarah dari kuliyyah Pengajian Islam dan Bahasa Arab akan mengisi slot tazkirah Ramadhan selepas terawih seperti Dr. Abdul Razak Al-Hasaniy dan yang lainnya. Selesai 20 rakaat terawih, ada yang melanjutkan bacaan Al-Quran mereka dan ada juga yang balik berehat di bilik masing-masing atau turun moreh di tingkat bawah masjid dan ke kafe-kafe yang masih dibuka. Selesai moreh, sambung iktikaf lagi. Tapi kini kami jauh. Hanya kenangan itu yang dibawa.

Malam-malam terakhir Ramadhan di sana juga sedikit sekali tidur orang-orang yang beriktikaf. Semua berlumba-lumba mencari Lailatul Qadr! Tapi malam 27 Ramadhan yang paling meriah! Kerna orang Arab mengambil qaul yang mengatakan Lailatul Qadr pada malam 27 Ramadhan, makanya kebanyakan mereka tidak tidur. Mereka bersungguh-sungguh solat, membaca Al-Quran, zikir, berdoa dan banyak bersedekah. Tahun pertama iktikaf di sana kami agak kaget apabila melihat sekotak air dan sebiji limau tersedia di hujung kepala tika semua bangun waktu Qiamullail. Alfagerah sendiri tertanya-tanya, "makanan dari langit kah ni..?" ^_^ Tapi kini kami jauh. Hanya kenangan itu yang dibawa.

Rindu juga pada teman-teman ibadah di sana terutama ‘ummul barakah’ (Nana) dan roommates terutamanya ibu (Muslimah), bapak (Farhana), kakak yang sulung (Alina), kakak yang tengah (Roxana), adik beradik yang lain (Farah), adik-adik (Falyn, Hajar, Husna, Ani), jiran tetangga (Tim, Reena,…), Tiq, As, Dzun dan semua. Allaaah.. Teringat saat sahur di bilik E 1.2 yang selalu meriah, iktikaf di masjid bersama ‘kaum keluarga’, membawa bekal bantal dan toto. Waktu Qiam yang syahdu. Alunan suara merdu Imam yang meruntun kalbu. Esak tangis teman makmum. Tak ketinggalan tangisan anak-anak kecil yang dibawa iktikaf bersama ibu-ibu mereka. Teringat detik ibu, bapak dan adik-beradik ynag lain begitu tertarik dengan seorang baby bernama Hajar, hingga sekarang ingatan tersebut masih kuat. Tapi kini kami jauh. Hanya kenangan itu yang dibawa.

Masuk tahun kedua di main campus, adik-beradik dan jiran-tetangga yang di Kuliyyah of Architecture and Environmental Design (KAED) macam bapak, Farah, Husna dan Tim memang selalu sibuk, tapi still kami akan susun satu masa untuk berkumpul walau sekali. Dulu juga kerap berebut-rebut dengan cik Alina tengok list Imam-Imam yang bertugas untuk solat terawih dan Qiamullail, yang pastinya beliau lebih excited, alfagerah biasa-biasa saja ^_^ (tak nak ngaku haha..). Tapi kini kami jauh. Hanya kenangan itu yang dibawa.

Kalau berbuka di masjid UIA, makanan dan minuman memang disediakan. Cuma perlu beratur menunggu giliran. Disana kami belajar sabar dan qanaah dengan apa saja yang dihidangkan. Kalau bimbang tak cukup bekal makanan yang dihidangkan pihak masjid, bazaar Ramadhan la yang kami kunjungi. Antara yang kerap dibeli Roti John plus daging! Tapi tak nak la cerita banyak-banyak pasal juadah berbuka, takut kurang pahala puasa hehe.. Yang bestnya kalau jalan dengan ibu di bazar, tension dibuatnya sebab boleh dikatakan hampir separuh warga UIA tu kawan ibu kot!! Jadi kena stop kat banyak check-point, tunggu ibu bertanya khabar haha.. Semua tu kenangan yang tak bisa luput dari ingatan. Tapi kini kami jauh. Hanya kenangan itu yang dibawa.

Then Ramadhan bersama sidti Syarifah Fatimah ben Yahya menyaksikan perebutan untuk menumpang pahala puasa yang lain dengan bergantian membeli juadah berbuka. Disana kami belajar untuk memberi walau dengan hanya sebiji tamar. Disana juga kami belajar untuk tidak membazir kerna sidti selalu mengingatkan. Bersama sidti, kami bisa berkumpul bersama students Master dan PhD macam Kak Nani, Kak Qurratul ‘Ain, Kak Fifi, Kak Fatin dan yang lainnya. Sesi berbuka bersama mereka selalunya akan menambahkan ilmu kerna akan ada tausiyah dan tadarus Al-Quran. Tahun terakhir di sana lebih berharga kerna biiznillah, kami bisa terawih bersama Imam Mu'taseem dari Syria di Masjid Wilayah, Jalan Duta. Sungguh indah perjalanan malam kami ke sana. Tapi kini kami jauh. Hanya kenangan itu yang dibawa.

Sunggu hamba bersyukur dan gembira Ya Allah, kerna dulu hamba punya…
Sidti Syarifah Fatimah yang sangat pengasih
Ibu yang penyayang
Bapak yang selalu menenangkan
Alina yang periang
Rox yang pandai memasak
Farah yang suka tersenyum
Adik Husna yang lemah lembut
Adik Hajar yang cukup apa adanya
Adik Falyn yang ceria
Adik Ani yang suka makan
Jiran tetangga seperti Tim dan Reena
Dan semua saudara-saudara hamba Di Sana

Mudah-mudahan ukhuwah kita berterusan hingga kita dipertemukan kembali di hari akhirat nanti dengan keberkatan Nabi kita sallallahu 'alaihi wa aalihi wa shohbihi wa sallam dan zuriat keturunan Baginda seluruhnya, Allahumma ameen..

~Allahumma sholli 'ala Saiyidina Muhammadin Nabiyil Ummiyyi wa 'ala aalihi wa shohbihi wa sallem~

Monday, June 22, 2009

Dr. Farhan Hadi, Syeikh Nur, dan Habaib

Berdiri solat isyak di belakang Dr. Farhan Hadi bersama isteri beliau dan sahibah beberapa malam yang lalu membuatkan airmata ana mengalir lesu. Betapa janji Allah itu benar bahawa isteri yang baik itu Allah sediakan buat seorang suami yang baik juga. Kerjaya apa saja bukanlah isu besar selama mana dunia tidak menghuni hati seseorang, apabila jalan tarbiyah yang dilaluinya, apabila Quran dan zikrullah yang menjadi makanan hariannya, apabila sunnah Rasul yang menjadi pakaiannya, dan apabila kata-kata nasihat yang sering menjadi topik perbualannya. Beberapa ketika dahulu ana berkenalan dengan Ummu Firas yang suaminya seorang Chef disebuah hotel terkemuka di ibu negara. Dalam kesibukan bekerja, mereka masih meluangkan masa hadir ke majlis-majlis ilmu terutama yang dipimpin oleh para habaib. Sungguh ana bergembira dengan kesungguhan mereka. Sekurang-kurangnya, disamping berkereta mewah, berpakaian yang mahal dan cantik, mereka tetap memperuntukkan sebahagian masa dan leluasa kudrat untuk duduk mengingati Allah dan RasulNya sallallahu ‘alaihi wa aalihi wa shohbihi wa sallam. Jika nak disenaraikan contoh, terlalu banyak. Lebih-lebih lagi daripada kalangan para habaib yang bersifat dengan sifat tawadhu’ dan pemurah. Mungkin ana akan kongsikan dalam entry yang lain insyaAllah.

Semalam, guru yang sangat ana hormati, Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu Al-Banjari Al-Makki berjaya mengkhatamkan kitab Hadith Riwayat 10 Sahabat Jilid 2 sekaligus menamatkan ‘kontrak’ pengajian beliau di Masjid Al-Falah USJ 9 tanpa beliau ‘highlight’kan sebab-musabab beliau membuat keputusan yang ternyata mengejutkan sebahagian besar ahli jemaah masjid. Teringat ketika kereta ana masuk ke perkarangan masjid, hati ana melonjak gembira kerana jumlah kereta yang di’park’ di parking lot masjid hampir penuh. Kasut-kasut juga banyak tersusun di atas rak dan di lantai pintu masuk masjid. Melangkah ke dewan solat sekali lagi hati ana teruja melihat jumlah para penuntut ilmu yang jauh lebih banyak daripada biasa. Hampir separuh ruang solat masjid penuh dengan tholabul ilmi. Ana mula meneka, mungkin Kak Nani (lecturer KUIS) ‘mengangkut’ bersama anak-anak murid beliau hadir dalam majlis ilmu bersama ulama’ yang sedia dikasihi dan dihormati oleh para peminat kuliah-kuliah pengajian beliau selama ini. Ketika selang masa rehat, ana sangat gembira bersalaman dengan Kak Nani dan sangat berterima kasih atas susah payah dan usaha murni beliau.

Selasai makan, kami duduk lagi bertalaqi, menadah kitab di depan Syeikh Nur. Seperti biasa, bersama lontaran-lontaran ilmu dari Tuan Syeikh, kami sangat terhibur dengan senda gurau dan bakat humor beliau. Akhirnya kitab hadith tersebut berjaya juga dikhatamkan setelah satu tempoh waktu yang agak lama. Pastinya disebabkan pengajian bersama Tuan Syeikh hanya berlangsung setiap dua bulan sekali. Kemudian Tuan Syeikh minta sedikit waktu untuk mengumumkan sesuatu. Mendengar keputusan beliau untuk menutup terus majlis pengajian beliau di masjid Al-Falah membuatkan rasa gembira dan teruja ana setiap kali berada dalam majlis beliau bertukar menjadi hiba. Airmata mula mengalir. Entah berapa kali dikesat masih juga mengalir. Ana percaya, pastinya jauh di sudut hati murid-murid beliau tak putus-putus berdoa, mudah-mudahan kami semua masih diberi kesempatan untuk terus duduk bertalaqi dalam majlisnya beliau dan mengambil ilmu dari beliau.

Antara amanat terakhir Syeikh Nur di Al-Falah:
1. Hendaklah kalian terus menghormati ilmu dengan menjaga adab-adab menuntutnya

2. Letakkan kemuliaan ulama’ itu sesuai dengan tempatnya

3. Jangan memilih-milih guru, tidak kira guru itu dari kalangan habaib atau bukan kerana sabda Nabi sallallahu ‘alaihi wa aalihi wa shohbihi wa sallam mengenai ulama’ itu bersifat umum bahawa “Sesungguhnya ulama’ itu pewaris Nabi” [walaupun majalis bersama para habaib tetap ada extra-valuenya-alfagerah]

4. Seorang ulama’ itu harus bersifat tawadhu’ dan hormat kepada ulama’ yang lain. Tuan Syeikh menceritakan contoh sifat tawadhu’ Al-Habib Umar ben Hafidh yang turut mencium tangan ulama’ yang mencium tangan beliau walaupun beliau seorang habib

5. Yang dikatakan ulama’ itu adalah mereka yang faqih. Faqih bermakna mereka bukan hanya ‘alim, tapi benar-benar beramal dengan ilmunya

6. Akhir sekali Syeikh Nur mengucapkan jutaan terima kasih dan jazakumullah khairan jaza’ kepada imam-imam Masjid Al-Falah, Ahli Jawatankuasa masjid dan semua hadirin atas komitmen yang telah diberikan sepanjang pengajian beliau di masjid tersebut dan selainnya.

Ustaz Azian pula mewakili semua yang hadir mengucapkan penghargaan diatas segala jasa baik Tuan Syeikh selama ini dan tak putus-putus memohon maaf atas segala kekhilafan yang timbul sepanjang keberadaan Tuan Syeikh di sini. Berkali-kali juga harapan semua ahli jemaah diutarakan agar Tuan Syeikh sudi membuka kembali majlis pengajian di Masjid Al-Falah pada suatu masa nanti. Mudah-mudahan harapan yang setinggi Jabal Uhud (seperti yang sering dicontohkan oleh Tuan Syeikh sendiri) dimakbulkan Allah subhanahu wa ta’ala. Majlis pun ditangguhkan walaupun masih ada ahli jemaah yang kelihatan terpinga-pinga dengan sesi pengumuman, penghargaan dan pengharapan pada pagi itu. Walaupun masih dalam keadaan sedih, ana dan sahabat meneruskan kembara mencari ilmu kami ke destinasi yang seterusnya, Madrasah An-Nur yang terletak di Pantai Dalam, Petaling Jaya.

Ana sedia maklum yang minggu ini akan diadakan bacaan Mawlid Dhiya ul Lami’ yang dipimpin oleh Al-Habib Ali Zainal Abidin Al-Hamid. Justeru tinggi harapan ana yang kami masih punya kesempatan untuk turut berada dalam majlis tersebut walaupun ana sedar peluangnya agak tipis. Ketika kami sampai, azan Zuhur sedang dikumandangkan dan masih ada saki baki muslimin yang menunggu giliran untuk berwudhu’. Kami terpaksa menunggu keadaan reda sebelum Habib Idrus ben Hafidh memberi isyarat kami boleh menyusup masuk ke ruang muslimat. Seperti dijangka, bahagian muslimat juga agak ‘huru-hara’ dengan jemaah muslimat berbaris mununggu giliran untuk berwudhu'. Melihatkan sikap ‘menyibuk’ anak-anak kecil yang turut berebut-rebut keluar masuk tandas membuatkan ana tersenyum sendiri. Ketika hampir sampai giliran ana, ternampak kelibat Habib Faisal Al-Habsyi datang bersama isteri beliau, Hababah Syarifah Masyitah ben Yahya. Terdetik di hati ana, "ada yang lagi lewat hehe...". Sempat mencuim tangan dan memeluk hababah, kali pertama ana melihat putera mereka 'in-real', Sidi Syed Ali Masyur al-Habsyi.

Walaupun agak sedih kerana kami tak sempat bersama ketika majlis Mawlid Nabi kita sallallahu ‘alaihi wa aalihi wa shohbihi wa sallam berlangsung, masih kesyukuran dipanjatkan kepada Allah dan selawat ke atas Saiyyiduna Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa aalihi wa shohbihi wa sallam kerana kami masih diberi rezeki melihat wajah para hababah yang hadir. Ummi Asma’, sidty Aminah ben Syeikh Abu Bakr ben Salem, Sidty Farihah ben Syihab, Sidti Alawiyah Al-Jufri, Sidty Munirah ben Hafidh, juga putera puteri mereka, Sidi Syed Salem ben Hafidh, Sidi Syed Ahmad Masyur Al-Haddad, Sidi Syed Abdul Qadir Al-Haddad, Sidti Fatimah Al-Hamid, Sidti Zainab Al-Hamid dan habaib yang lain. Sungguh melihat wajah-wajah mereka bisa meringankan beban kerinduan kepada Datuk mereka yang Mulia, Saiyyiduna Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa aalihi wa shohbihi wa sallam dan merekalah antara nikmat terbesar yang Allah anugerahkan kepada ummat Nabi Agung, Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa aalihi wa shohbihi wa sallam agar ummat merasa dekat dengan Nabi mereka.

Selesai solat dan makan tengahari yang disediakan kakak-kakak yang level kasih mereka kepada Baginda Nabi sallallahu ‘alaihi wa aalihi wa shohbihi wa sallam dan ahl bait Baginda sudah berada pada tahap executive mungkin, kami duduk bertanya khabar dan berkongsi cerita dengan para hababah dan muhibben yang lain. Walaupun sebentar cuma, mudah-mudahan tetap ada barakahnya insyaAllah.

"Allahumma sholli wa sallem wa baarik ‘alaihi wa ‘ala aaleh wa ashhabeh”

Wednesday, April 1, 2009

Kemalangan sebelum Final Exam yang terakhir...

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Mengasihani akan hamba-hambaNya.

Semalam, kira-kira jam 11pagi SMS daripada cousin saya Irwan di Shah Alam masuk ke Nokia 5300 saya. Isinya, “Salam. Ju, bila nak balik kedah?”. Jawapan saya, “Aku balik lambat lagi Iwan, 3hb ni start final exam insyaAllah. Doakan na. Awat?”. Selang beberapa saat, masuk sms seterusnya, “Mak aku kena pi buat check-up kat Hospital Aloq Staq 18hb ni, ingat kalau hang balik sama tarikh, boleh balik dengan Chu sebab Mira sekolah”. Saya pun jawab, “Sory”. Sambungannya, “Iwan, klu aku nak pi tidoq kat umah hang buang semalam bleh? Dah rindu kat Chu”. Dia kata, “Ok, mai la umah!”. Sejurus tamat diskusi kami yang berapa interesting sangat, saya masih berkira-kira, nak pi ka dak ke Shah Alam. Tapi teringat kerinduan pada mak di Kedah beberapa hari ni buat saya terfikir, pi ja la. Tak boleh jumpa mak, jumpa adik mak kira kher (ok) la kot insyaAllah. Sememangnya Chu ni adik kandung mak yang paling rapat dengan saya.

Sampai melepasi lunch hour, saya masih belum bersiap. Adik sebilik, Ida dah berletiaq (berleter). “Jadi pegi Shah Alam tak kak Ju?”. “Hmmm, jadi kot, tapi nanti la dulu”. Usai solat zuhur, Ida pun beransur ke kelas. Hampir masuk waktu ‘Asar, adik ni dah pun selamat balik kelas. Dia terkejut tengok saya still terhegeh-hegeh iron baju. Geleng kepala dia dengan kelembapan saya hu.. Mulut dia tak lepas membebel, “Tak siap lagi kak ju? Ingat dah selamat sampai Shah Alam he.. Dah nak dekat habis office hour ni kak ju, nanti mesti jem teruk”. Saya jawab, “Yes, I knew it dear. Satgi pas solat ‘Asar kak ju pi la he….”. Selesai solat 'Asar, saya pun bersiap dan mengucapkan ma’assalamah pada Ida.

Saya memilih untuk melalui MRR2 kerana percaya bila dah masuk ke KESAS nanti perjalanan saya akan lancar insyaAllah. Kenderaan bergerak agak perlahan tapi masih belum begitu sesak. Saya bernafas lega dan syukur pada Allah. Sampailah di atas flyover sebelum Pandan Indah. Saya yang berada di lane satu memilih untuk masuk ke lane dua. Saya memberi signal ke kiri dan mata liar melihat cermin tepi dan belakang. Setelah hati saya yakin line clear, saya pun bergerak perlahan dan masuk ke lane dua.

Tiba-tiba, entah dari langit mana datangnya sebuah kereta melanggar belakang kereta saya, Allahu Allah. Saya terus brek kereta dan terpegun beberapa saat. Hati saya tertanya-tanya, “Ya Allah, kereta aku ke yang kena langgar?) (soalan ape tuh huhu…). Hati saya jadi percaya bila terpandangkan sebuah kereta putih tersasar ke tepi dengan agak dasyat dan cermin tepi kereta saya ‘cedera’ dan termasuk ke dalam akibat hentakan momentum dari perlanggaran tadi. (tapi bukan salah gua ok!, dia yang langgar gua!)

Saya terdiam beberapa ketika. Hanya kalimah “Ya Allah” berulang kali keluar dari bibir saya. “Doakan hamba wahai Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa aalihi wa shohbihi wa sallam”. Saya melihat kereta Honda Civic lama dah tersasar ke tepi. The owner of the car keluar sekejap untuk melihat kecederaan kereta dia sedang saya masih terpaku di dalam kereta . Saya seolah-olah belum mahu percaya yang sayalah yang terlibat dalam kemalangan pada petang itu.

Tapi apabila pemilik kereta yang melanggar saya masuk kembali ke dalam kereta dia dan mula bergerak perlahan, saya seperti baru sedar dari mamai (tak betul langsung timing nak mimpi sekejap kan huhu..). Hati saya tertanya, “Dia nak lari ke Ya Allah”. Saya menjadi sedikit kalut. “Aku nak buat apa ni Ya Allah?”. Dungu betul kan hu… saya teringat, “Ha, amik nombor plat kereta dia!” dengan tangan yang sedikit terketar saya mencatat nombor plat kereta dia di dalam handphone. Sempat lagi terlintas dibenak saya, “Nombor plat jenis apa ni? Quite rare pada pandangan mata saya”. Kemudian saya ON kan lampu kecemasan lalu bergegas keluar dari kereta dan lock the door. Wallet dan handphone ana tak lupa beb, Alhamdulillah. (ana plak, tadi saya, pastu gua, pasni aku pulak. Hmmm, lantak la labu).

Kereta putih tu perlahan-lahan meninggalkan saya. Tapi Alhamdulillah, Allah yang Bersangatan Baik tu menghantarkan seorang Pakcik teksi yang baik hati untuk membantu hambaNya yang lemah. Pakcik tu membunyikan hon teksi dia berkali-kali lalu memintas kereta yang melanggar saya tadi. Hanya Allah yang Maha Tahu keadaan hati saya ketika itu, Allahu Allah. Apabila sampai ke cermin ‘driver’ kereta tadi, seorang Brother menurunkan cermin tingkap keretanya. Kelihatannya agak takut-takut dan mata dia agak merah. (menangis ke ha? I’m just joking huhu….). Pakcik teksi tadi sempat nasihat dia, “Kena tanggungjawab la Brother, jangan lari pulak!”. Lelaki tadi menganggukkan kepala sambil cuba meyakinkan saya, “Saya tak lari kak, kita settle cara baik”. Siapa kakak yang dia maksudkan tadi? Saya ke ha? Sekali lagi soalan yang tak berapa nak pandai. Itulah padahnya bila selalu perasan muda haha...

Disebabkan Pakcik teksi tu ada customer dalam kereta merah dan putih dia, dia terpaksa pergi tapi sempat ingatkan saya suruh ambil IC or licence Brother tadi supaya dia tak lari. Saya pun bertindak mengikut arahan! Hait! Entah apa la yang menarik sangat sampai berbondong-bondong kereta berhenti di bahu jalan. Saya tertanya-tanya, “diorang ni memang nak tolong kami yang ditimpa musibah ni or nak tolong tengok je?”. Hmmm, rupanya kebanyakan mereka mempunyai misi dan visi yang lebih gempak dari apa yang saya fikirkan. (syabas bete!).

Kembali ke cerpen saya tadi. Brother tu pun turun dari kereta dengan wajah yang agak tension. Bukan saya ke yang sepatutnya lebih tension dari dia? Confuse, confuse. Seorang Brother yang lain menawarkan diri untuk ubah kereta saya ke tepi sedang saya berbincang dengan the owner of white Honda Civic. Alhamdulillah, Allah masih sedikit menenangkan saya sampai masih bisa tersenyum yang entah ikhlas entah tidak pada Brother yang dah melanggar belakang dan pintu kiri kereta saya. Yang penting senyum la gak sebab Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa aalihi wa shohbihi wa sallam kata senyum tu sedeqah (terima kasih wahai Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa aalihi wa shohbihi wa sallam kerana telah mengajarkan kami segala akhlaq baik sesama manusia).

Panjang perbincangan kami. Mula-mula kami decide untuk report polis. Tapi Brother tu mintak settle atas jalan sebab yang pertama, tayar kereta dia meletup, jadi dia tak dapat kawal kereta dia, tu yang terlanggar kereta saya. Secondly, dia drive kereta Singapore milik abang dia sedangkan he owned lesen Malaysia. Thirdly sebab kereta yang dia pandu tu kereta Singapore, saya pun tak boleh claim atas insurance kereta dia nanti. Kesian la pulak! Patut la macam tak pernah saya nampak nombor plat kereta dia tadi. Ingatkan dari planet lain hu... Ilmu baru bagi saya.

You all know something? Rupanya kereta-kereta yang berhenti di belakang kereta kami merupakan ‘duta’ workshop masing-masing untuk buat business dengan orang-orang yang ditimpa musibah. Tapi sungguh saya tak nafikan kehadiran diorang agak membantu walaupun agak memeningkan kepala. Sekurang-kurangnya saya dapat peluang bertanya quotation, kos untuk baiki keta saya sebab saya agak ‘kayu’ dalam bab-bab camni. Kalau nak tanya quotation sebiji clay brick ke, harga sekampit cement ke, kos pemasangan air-conditioning system di hospital Temerloh ke, boleh la saya cuba jawab kot insyaAllah. Jazakumullah khiran jaza pada kalian (bravo!).

Cuma agak sedih melihat lakonan dan ketidakjujuran sesetengah daripada kalangan mereka. Anyway, mudah-mudahan kita semua menjadi ummat Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa aalihi wa shohbihi wa sallam yang lebih jujur selepas ini, amen. Saya mula call beberapa orang saudara-mara yang mungkin dapat membantu, menenangkan dan mendoakan saya. Kecut juga apabila seorang perempuan berdiri di bahu jalan dan hampir semua kereta bergerak perlahan dan mata-mata mereka cuba mengenal-pasti siapakah gerangan yang accident pada petang yang berbahagia ini. Saya la orangnya he...

Saya cuba call cousin saya yang owned bengkel mengetuk dan mengecat keta that located at Wangsa Maju, Abang Edy. Sebak juga bila dia kata tak dapat datang melihat sendiri kereta saya. Tapi sekurang-kurangnya dia boleh quote range kos membaiki kereta saya. Alhamdulillah ‘ala kulli hal then! Kemudian saya call abang kepada Abang Edy, Abang Udin minta beliau datang, temankan saya sekurang-kurangnya sebab beliau sebaya dengan mak saya. Rumah beliau pun dekat dengan tempat kejadian. Beliau terus bergegas datang walaupun ambil masa yang lebih lama dari biasa. Semuanya gara-gara saya tersalah explain the exact location I’m was standing at that time. Ni lagi satu ‘kayu’ huhu..

Dengan hati yang berat, saya terpaksa juga call abang saya who owned kereta Wira yang pandu. Saya sempat menyebut, “Tenang na bang, kereta abang accident. Tapi ana selamat Alhamdulillah”. Saya explain apa yang patut dan bagitau abang saya price yang Brother tadi offer kalau saya setuju selesaikan cara baik. Boleh saya gambarkan betapa terkejutnya abang saya since saya satu-satunya adik perempuan yang dia ada (perasan la plak…). Belum sempat saya nak minta abang rahsiakan dari pengetahuan mak abah dulu sebab takut mereka bimbang, abang terus mencelah, “Sat, abang bincang dengan abah. Abah ada dengan abang ni!”. Terkedu saya seketika.

Bimbang sungguh saya dengan impak berita saya terlibat dalam kemalangan pada hati seorang abah yang menatang saya bagai minyak yang penuh. (sempat lagi ber’falsampah’ menggunakan kamus peribahasa Melayu hehe…). Abang call semula dan explain pendapat dia. Saya kenal sifat abah yang satu ni. Abah tak boleh berbicara dengan saya ketika saya ditimpa musibah. Semasa saya dimasukkan ke ward HKL hampir setahun yang lalu pun abah tak bisa bicara. Bimbang dia tersebak tanpa sengaja mungkin. “Maafkan ananda abah na”.

Saya membuat panggilan pada Irwan juga since dia seorang polis walaupun di bahagian jenayah. Mintak nasihat undang-undang. Mintak dia bagitau mak dia juga. Bimbang juga saya buat Chu tertunggu-tunggu kehadiran saya. Terasa agak mustahil nak meneruskan perjalanan ke Seksyen 19, Shah Alam selepas apa yang berlaku. Saya dapat menangkap suara kebimbangan dari nada percakapannya. Sebelum mengakhiri perbualan singkat kami, saya mintak Chu doakan saya juga. Orang seterusnya yang saya hubungi ialah Pakcik di Sri Gombak. Minta doa pastinya! Jazakumullah khairan jaza’ pakcik!

Sambil tu saya dan Brother tadi meneruskan diskusi kami yang tertangguh sebab dia pun membuat beberapa panggilan seperti saya. Mengadu kat mak dia kot huhu… (ish, tak baik fikir camtu). Yang paling ‘tak boleh blah’, datang seorang lelaki memakai t-shirt berkolar color blue black yang tertulis DUN apa entah. “Sapa pulak mamat ni? Tak nampak macam wakil rakyat pun. Guna “walkie-talkie” lak tuh! Penyampai radio Era yang melaporkan keadaan jalan raya di sekitar ibukota ke! Tak sesuai la bang, orang tengah ditimpa musibah ni! Luku di kedua-dua belah kepala satgi baru tau!”, saya bermonolog sendiri.

Selepas, cousin saya sampai, forum antara saya dan Brother tadi cuba diakhirkan secepat mungkin. Kami pun dah lama berdiri di tepi jalan. Lebih sejam kot. Akhirnya kami mencapai kata putus. Lebih dari separuh kos membaiki kereta saya dalam bentuk cash. Selebihnya menggunakan cash cek. Walaupun still ada sikit kebimbangan dalam hati saya, saya pujuk hati agar bertawakkal pada Allah yang satu. Tak larat dah rasa nak memanjangkan cerita. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa aalihi wa shohbihi wa sallam pun mengajarkan kita agar bertolak ansur sesama Muslim kan.

Saya sempat melihat IC Brother tadi sebelum memulangkan kepada tuannya. “Muda dua tahun dari aku rupanya, patut la cam takut-takut ja”. Saya tersenyum sendiri. Sebelum membawa kereta saya ke bengkel sepupu saya, sempat saya meminta diri pada ‘adik’ yang melanggar kereta saya tadi. Saya juga minta maaf kiranya dah menyusahkan dia. Dia kelihatannya agak terkejut dengan ucapan maaf saya. Mungkin dia rasa bersalah sebab saya pula yang meminta maaf, bukan dia. Finally, kami berpisah secara baik Alhamdulillah. Mudah-mudahan kami sama-sama redha dan tak berdendam sesama sendiri.

Dipendekkan cerita saya yang agak panjang ni, Allah masih memberikan saya kekuatan untuk memandu kereta ke bengkel cousin saya di Wangsa Maju. Abang Udin meminta diri selepas segalanya selesai. Niat sebenar beliau untuk membeli popia tertangguhkan setelah mendapat panggilan kecemasan daripada saya tadi. Sungguh saya menghargai anak saudara mak yang seorang ni. Tak pernah berkira apabila melibatkan hubungan kekeluargaan. Kemudian Abang Edy menjemput saya ke rumah dia di Wangsa Maju untuk bertenang sekejap kalau masih ada sisa terkejut. Kami bersembang sekejap sebelum solat maghrib.

Dapat saya rasakan saat berdiri di hadapan Allah selepas musibah yang menimpa membuatkan hati saya sebak dan insaf akan dosa-dosa sendiri. Sungguh Allah itu bersangatan baikNya. Apabila kita lalai dan mengabaikan khabar iman yang jatuh merudum, Allah datangkan musibah untuk kita kembali kepadaNya. Segalanya untuk manfaat hambaNya semata. Sememangnya tak terjejas sedikit pun kemuliaan dan kehebatan Allah sekiranya kita melupakanNya. Namun apabila kasih Allah kepada hambaNya mengatasi segalanya, Dia masih sudi menghulurkan musibah untuk menarikkan hambaNya yang ingkar kembali kepadaNya. Semata-mata agar kita selamat. Baiknya Engkau Tuhan.

Inilah salah satu tarbiyah daripada Tuhan sepanjang melalui hidup yang entah bila akan berakhir. Semuanya dalam rahsia dan ketentuan Allah. Ampuni segala keterlanjuran hamba Tuhan dan sekali lagi hamba mohon maaf kerana berkali-kali mengecewakan Baginda Nabi sallallahu ‘alaihi wa aalihi wa shohbihi wa sallam.

"Allahumma sholli wa sallem wa bbarik 'alaihi wa 'ala aaleh wa ashhabeh"

Saturday, March 21, 2009

Surat Cinta buat Kak Ikin


Beliaulah zuriat keturunan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa aalihi wa shohbihi wa sallam pertama yang cintamuhammad cinta. Kami pertama kali ta’aruf di Masjid Al-Falah, USJ 9 walaupun dah beberapa kali cintamuhammad perasan akan kehadiran beliau di bumi universiti yang sama. Cintamuhammad pernah melihat beliau di dewan solat muslimat Masjid UIA sebanyak dua atau tiga kali dan kemudian bertembung lagi di tangga besar UIA.


Ketika kami berkenalan beliau telah berjaya buat cintamuhammad ketawa dengan bakat humornya. Kami begitu cepat mesra dek kerana sifat ramah-tamah beliau. Daripada keperibadian dan keilmuan beliau cintamuhammad mula mengenal keistimewaan seorang insan yang membawa darah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa aalihi wa shohbihi wa sallam dalam tubuh mereka. Kami banyak berbincang tentang ilmu kerana beliau seorang ahli ilmu. Beliaulah guru pertama daripada kalangan Ahl Bait yang memperkenalkan ilmu nasab zuriat keturunan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa aalihi wa shohbihi wa sallam secara detail kepada cintamuhammad.


Mungkin disebabkan kami punya interest yang hampir sama, kami menjadi semakin rapat. Pernah beberapa kali kami berselisih tapi beliau kerap mengalah, minta maaf walaupun cintamuhammad yang khilaf. Sifat beliau sering membuatkan cintamuhammad sebak sendiri. Sungguh cintamuhammad sangat menghargai kehadiran beliau dalam hidup cintamuhammad.


Terus-terang, sudah hampir luput keluh-kesah kepada Allah sejak cintamuhammad mula mengenal Islam, mula menghargai nikmat Iman yang Allah anugerahkan, nikmat mengenal Nabi agung, Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa aalihi wa shohbihi wa sallam, dan nikmat diperkenalkan kepada iitrah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa aalihi wa shohbihi wa sallam, itrah yang seorang ini terutamanya. Sungguh, terlalu murah hidup yang begini singkat untuk diisi dengan keluh-kesah yang berpanjangan. Justeru, beruntunglah orang yang mensyukurinya dan memanfaatkannya dengan amalan yang terpuji.


Dengan syafaat beliau, cintamuhammad diperkenalkan dengan lebih ramai itrah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa aalihi wa shohbihi wa sallam yang lain. Sesungguhnya, beliaulah pemula segalanya yang berkaitan ahl bait Nabiy sallallahu ‘alaihi wa aalihi wa shohbihi wa sallam dalam hidup cintamuhammad.


Cintamuhammad juga seolah-olah kenal rapat dengan keluarga beliau walau belum pernah berjumpa. Cintamuhammad seolah-olah kenal akan karakternya ayahanda beliau, Tuan Syed Abd Kadir ben Yahya, bonda beliau sidti Syarifatunnisa, adik-adik beliau, sidti Syarifah Hafizah (kak ijo), sidi Syed Abdul Mutalib, sidi Syed Salman, sidti Syarifah Khadijah, sidti Syarifah Hidayah, sidi Syed Ahmad Nasarudin, dan juga anak-anak saudara beliau sidi Syed Ahmad Ra’id dan sidti Syarifah Ilham Damia.


Tapi, mendapat khabar penyakit 'Steven Johnson Syndrome' yang beliau hidapi membuatkan hati cintamuhammad selalu mendung dan berkabus dengan kesedihan. Ingin sekali segera terbang ke Hospital Kuala Terengganu untuk melihat sendiri keadaan beliau yang terlantar. Tapi disebabkan cintamuhammad punya final exam skill pada hari sabtu lepas, niat itu terpaksa ditangguhkan. Mudah-mudahan Allah menyampaikan salam sejahtera cintamuhammad buat beliau yang cintamuhammad cinta kerana Allah, juga kerana Datuk beliau yang mulia, Baginda Nabi sallallahu ‘alaihi wa aalihi wa shohbihi wa sallam. Jam 10.20 malam hari yang sama cintamuhammad naik bas bersama ummulbarakah untuk pergi melihat sendiri keadaan beliau Alhamdulillah.


Doa cintamuhammad, mudah-mudahan beliau akan diselimuti burdah yang akan menyembuhkan segala kesakitan dan derita beliau oleh Datuk beliau sendiri, Baginda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa aalihi wa shohbihi wa sallam. Pastinya itulah hadiah yang paling berharga dalam hidup beliau. Sungguh, cintamuhammad sangat terhutang budi akan segala budi baik, doa dan nasihat-nasihat berharga daripada beliau.


Wahai Tuhan yang menghadiahkan cinta dalam hati hamba-hambaMU, persaksikanlah bahawa sesungguhnya hamba cinta kepada itrah KekasihMU yang satu ini, sidti Syarifah Fatimah bt Syed Abdul Kadir Al-Yahya. Pastinya syafaat mereka akan hamba tagih nanti Ya Allah. Lebih lagi, syafaat Datuk mereka yang agung, Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa aalihi wa shohbihi wa sallam.


“Allahumma sholli wa sallem wa baarik ‘alaihi wa ‘ala aaleh wa ashhabeh…”

Wednesday, February 11, 2009

Perginya Seorang QS

Airmata yang murah ini gugur lagi apabila mendapat sms daripada kawan sekelas, Haiza. Sms yang masuk tepat jam 09:24:49 malam tadi membawa khabar kematian teman sekelas kami yang saya hormati kerana beliau beberapa tahun lebih tua daripada saya. Berlegar di ruang mata detik terakhir saya melihat beliau di dalam studio, kelas Measurement Jumaat lepas. Beliau datang ke meja kami untuk meminjam liquid paper pada hari itu. Selepas beberapa ketika beliau kembali ke meja kami untuk memulangkan barang tersebut kepada Dzun Nur’ain dan beberapa kali mengucapkan terima kasih. Allahu Allah, betapa detik terakhir itu akan menjadi ingatan saya buat selama-lamanya.

Dalam tempoh final semester kami yang berbaki hanya kurang lebih dua bulan, saat kematian itu tidak dapat ditangguhkan lagi. Jangankan untuk tempoh dua bulan, untuk detik sesaat saja Allah tak izinkan Malaikat yang ditugaskan untuk mengawalkan atau mengakhirnyakannya apabila detik dan ketikanya telah tertulis di Luh Mahfuz. Tepat pada saat itu juga nyawa kita akan ditarik keluar daripada jasad. Maka kakulah seluruh anggota yang selama ini diberi leluasa untuk berbuat taat atau maksiat. “Lakukan apa saja tapi ingat bahawa kamu akan kembali bertemu Allah yang telah Menciptakan kamu dan kamu akan dipersoalkan atas segala amal perbuatan kamu”.

Rasa sebak tak tertahan lagi apabila saya membayangkan kiranya saya yang berada di tempat beliau dan saya yang dijemput kembali bertemu Allah dalam kejadian petang semalam, kemalangan motorsikal bertembung dengan lori di Jalan Greenwood, Gombak. Bagaimana kira-kira keadaan saya kembali menghadap Allah Ta’ala. Sedang Allah yang Bersangatan Baik itu berulang kali mengingatka kita akan pastinya detik kematian yang akan datang bertandang dalam keadaan kita bersedia atau sebaliknya. Entah bagaimana hamba dapat mengadapMu Tuhan? Apa amalan yang dapat hamba persembahkan kepadaMu selain keingkaran dan kelalaian hamba sepanjang diberi umur hidup di atas dunia yang Engkau ciptakan semata-mata untuk kami ber’ubudiyah ke-HadratMu jua. Alfaqirah teringat kata-kata Habib Munzir al-Musawa tentang detik kematian yang bakal menjelang.

“Ingatlah, akan tiba saat lidah kita takkan bergetar lagi untuk menyebut nama Allah. Pada saat itu kita diturunkan ke dalam kubur kita, wajah kita dibuka dan diciumkan ke tembok kubur kita dan kita ditinggalkan sendiri”

Takziah buat keluarga beliau terutama isteri beliau dan dua orang cahayamata mereka. Mudah-mudahan semua ahli keluarga beliau dikurniakan rasa redha dan sabar dengan musibah yang melanda. Sesungguhnya Allah takkan sekali-kali melakukan perkara yang sia-sia melainkan ada hikmah yang tersembunyi di dalam lipatan sirr(rahsia)Nya. Syabas dan jutaan terima kasih kepada kawan-kawan sekelas daripada kalangan Brothers yang mewakili kami semua berkejar ke hospital sebagai penghormatan yang pertama kepada beliau. Tengahari tadi jenazah beliau selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam sekitar Taman Melawati rasanya, tidak dibawa pulang ke Perlis. Alhamdulillah, washolatu wassalamu 'ala Rosulillah sallallahu 'alaihi wa aalihi wa shohbihi wa sallam, kami semua diberi kesempatan oleh Allah untuk memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah beliau sebelum beliau dikebumikan. Sungguh hati ini seakan-akan degil untuk menerima kenyataan bahawa beliau telah kembali ke rahmatullah sehinggalah saya melihat sendiri jenazah beliau dalam ziarah takziah tadi Alhamdulillah. Mudah-mudahan roh beliau tergolong dalam kalangan orang-orang yang soleh dan diberi nikmat oleh Allah.

Al-Fatihah buat Brother Azrim……

Monday, February 9, 2009

Imam ‘Ali Zainal Abidin (episod satu)

Zuriat Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa aalihi wa shohbihi wa sallam yang seorang ini memang luar biasa sekali kesolehannya. Beliau merupakan imam keturunan ahl bait Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa aalihi wa shohbihi wa sallam yang paling dicintai oleh kaum muslimin pada zaman beliau.


Ayahanda beliau tak lain tak bukan cucunya Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa aalihi wa shohbihi wa sallam Al-Hussain r.a. bin Ali bin Abu Thalib, suami Saiyidatuna Fathimah Az-Zahra binti Muhammad Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa aalihi wa shohbihi wa sallam. Bonda beliau merupakan seorang wanita bangsawan, cucu Maharaja Persia Dinasti Sassanid, Yazdajird (Yazdajard) yang bernama Syah Zinan (juga disebut Syaha-Zinan) atau Syahrbanu. Beliau juga merupakan satu-satunya putera Saidina Hussain yang terselamat ketika tragedy Karbala.


Gelar “Ali Zainal Abidin” yang bermakna ‘Orang Terbaik Yang Bersembah Sujud Kepada Allah’ atau ‘Penyembah Allah yang Terbaik’ diberikan oleh kaum muslimin ketika beliau menginjak umur dewasa sedang nama asal beliau adalah ‘Ali Al-Ausath. Imam ‘Ali Zainal Abidin lahir tanggal 5 Sya’ban tahun 50 Hijriah dan beliau dibesarkan dalam suasana masyarakat yang bergolak dan bencana fitnah yang melanda kaum muslimin. Pemberontakan bertali arus sejak peristiwa pembunuhan Khalifah Uthman bin Affan radhiallahu’anhu. Kemelut yang melanda menjadikan Imam ‘Ali Zainal Abidin berfikiran dewasa mengatasi umur beliau ditambah dengan ke’arifannya beliau berkat asuhan dan didikan keluarga ahl bait Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa aalihi wa shohbihi wa sallam.


Disebabkan bonda beliau wafat ketika beliau masih kecil, beliau dibesarkan dan diasuh secara langsung oleh ibu saudara beliau sendiri. Ibu saudara beliau, Saiyyidah Zainab binti Ali bin Ali bin Abu Thalib r.a merupakan saudara kandung Saidina Hassan dan Saidina Hussain. Bermakna, Imam Ali Zainal Abidin mendapat tarbiyah langsung daripada tiga orang Ahl Bait Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa aalihi wa shohbihi wa sallam iaitu Saidina Hassan, Saidina Hussain dan Saiyyidah Zainab binti Ali radhiallahu ‘anhum.


Berkat kehidupan di dalam lingkungan keluarga yang soleh dan penuh taqwa, maka ‘Ali al-Ausath menjadi seorang kanak-kanak yang soleh dan gemar beribadah, giat berpuasa, tekun bersembahyang dan sangat gemar membantu orang yang berada di dalam kesusahan. Maka layaklah masyarakat memberikan gelar ‘Zainal Abidin’ kepada beliau. Kaum muslimin juga memberikan julukan sebagai ‘As-Sajjad’ kepada beliau yang bermakna ‘Orang yang selalu bersembah sujud kepada Allah’.


Tidak seperti anak-anak kecil yang lain, beliau seolah-olah tidak pernah membuang waktu dengan sia-sia untuk bermain atau bergurau dengan kawan-kawan sebaya melainkan seluruh masa kanak-kanak beliau dimanfaatkan untuk menuntut ilmu agama yang diberikan oleh para pengasuh yang juga pendidik beliau. Sejarah sendiri menjadi saksi bahawa cicit Rasulullah yang seorang ini benar-benar terkenal sebagai orang yang sangat taqwa kepada Allah dan patuh kepada sunnah RasulNya.


Daripada sekian banyak kisah ketaqwaan beliau, alfaqirah memetik satu kisah yang dinukilkan oleh salah seorang putera beliau sendiri yang bernama Muhammad Al-Baqir bin ‘Ali Zainal Abidin. Beliau menceritakan, “Pada saat sedang solat, ayahku demikian khusyuk berdiri hingga tak ada bezanya dengan seorang budak yang hina-dina berada di hadapan Maharaja terbesar di dunia. Begitu khusyuk ayahku solat seakan-akan sedang menunaikan solat terakhir dalam hidupnya”.


Pada larut malam yang gelap gelita saat manusia sedang nyenyak tidur, Imam ‘Ali Zainal Abidin sering menyelinap keluar dari rumah untuk mendatangi khemah-khemah atau rumah-rumah kaum faqir miskin. Sambil memikul sendiri beberapa kantung gandum, beliau berjalan cepat sambil menoleh ke kanan dan ke kiri lantaran khuatir kalau-kalau ada orang yang melihat beliau. Apabila sampai ke tempat yang dituju, dengan gerak-geri yang sangat berhati-hati beliau akan meninggalkan sekampit gandum di depan pintu khemah atau rumah yang didatangi beliau. Secepat beliau datang, secepat itu juga beliau meninggalkan tempat itu dengan tetap membisu. Dengan berjalan setengah lari beliau menghilang dalam kegelapan malam menuju ke tempat lain dengan tujuan yang sama.


Sememangnya perbuatan ini aneh dan menjadi tanda-tanya pada seluruh penduduk kerana ianya terjadi berkali-kali. Justeru banyak orang membicarakan ‘rezeki ghaib’. Ada yang mengatakan ia dibawa oleh Malaikat dari langit dan mereka berbahagia kerana menganggap beroleh perhatian dari langit melalui Malikat Allah. Ada juga yang mengatakan ‘rezeki ghaib’ itu didatangkan oleh jin dan mereka bimbang kiranya jin itu inginkan balasan atas kebaikannya. Imam Ali Zainal Abidin tidak menghiraukan sama sekali komen-komen sumbang daripada orang banyak pada ketika itu. Beliau membiarkan orang menyebut pembawa rezeki itu dengan nama apa saja sedang yang paling penting bagi beliau adalah menunaikan ikrar yang beliau ucapkan sehari-hari: inna sholati wa nusuki wa mahyaya wa mamati lillahi Rabbil ‘alamin- sesungguhnya solatku, amal kebajikanku, hidupku dan matiku hanyalah demi Allah semata-mata.


Rahsia kebaikan Imam Ali Zainul Abidin tersimpan kemas sehinggalah beliau pulang ke rahmatullah. Maka lenyaplah cerita tentang ‘Malaikat’ dan ‘jin’ yang datang berulang-kali untuk memberikan makanan secara sembunyi-sembunyi kepada kaum faqir miskin. Amr bin Tsabit menceritakan, ketika jenazah putera Al-Hussain radhiaallahu’anh itu dimandikan, tampak kulit menebal berwarna kehitam-hitaman pada punggung beliau dan mereka saling bertanya sesama sendiri. Kemudian ada yang menjawab, “Itu bekas beban berat yang dipikul beliau pada malam hari, iaitu kampit-kampit gandum yang dihantar sendiri berulang-ulang kali kepada kaum faqir miskin dan orang-orang yang memerlukan di Madinah!”


Allahumma sholli wa sallem wa baarik 'alaihi wa 'ala aaleh wa ashabeh....

Wednesday, January 28, 2009

Selamat Pergi dan Kembali

Kerinduan yang satu itu menjengah lagi bersama deraian airmata dan sebak di dada. Sungguh rindu itu menyeksakan tetapi rasanya manis dan indah. Ingin sekali duduk bersimpuh di hadapan Baginda, meletakkan pipi yang hina di ribaan Baginda dan mengadukan segala yang terpendam di jiwa. Tapi mana mungkin diri yang berdosa ini layak melainkan dengan rahmat dan belas kasihan Allah Yang Maha Baik jua. Justeru hati ini terus-terusan mengharapkan keampunan dan perhatianNya Allah dan kasihnya Rasulullah sallallahu 'alaihi wa aalihi wa shohbihi wa sallam.

Selamat pergi dan kembali buat tetamu-tetamu Allah dan juga tetamu Baginda Rasulullah sallallahu 'alaihi wa aalihi wa shohbihi wa sallam. Sesungguhnya kehadiran kalian ditunggu-tunggu oleh Baginda Nabi lalu alfaqirah kirimkan salam bahagia buat kalian yang disambut dengan senyuman Baginda, dengan jawapan salam yang sempurna bersama doa kesejahteraan daripada Kekasih Allah yang mulia. Selamat pergi dan kembali buat:

  1. Pcik Khairul Anwar
  2. Adik Rabi'atul Aribah dan
  3. seluruh keluarga dan rombongan

Allahumma sholli wasallem wa baarik 'alaihi wa 'ala aaleh

Monday, January 19, 2009

Final Semester yang Melelahkan

Hampir sebulan melalui final semester yang melelahkan. Kadang-kadang terasa seperti mahu berputus asa dengan dunia yang menyesakkan fikiran. Tapi hidup kan perlu diteruskan apa adanya kerana kita hidup di dunia yang sekejap ini dengan tujuan ubudiyyah, bukan sekadar bersenang-lenang dengan dunia dan segala perhiasannya.

Bersama lelah dunia, lebih lelah lagi melayani turun naiknya iman yang menuntut perhatian yang bukan sedikit. Jadi ajaklah diri kita untuk terus memohon perhatian dan rahmatNya Allah yang dengan rahmatNya itulah kita akan mendapat pandangan kasih-sayangNya Allah, pengampunan atas dosa-dosa dan keterlanjuran kita. Mudah-mudahan kita diberikan sedikit belas untuk turut mendapat hadiah doa dan kasihnya Rasulullah sallallahu 'alaihi wa aalihi wa shohbihi wa sallam seperti orang-orang yang tidak ada sedetik pun umur mereka tersisakan daripada mengingati Allah dan hati mereka sentiasa rindu untuk bertemu Allah dan KekasihNya yang mulia, Saiyyiduna Rasulullah sallallahu 'alaihi wa aalihi wa shohbihi wa sallam.

Dibawah alfaqirah kongsikan bersama sahabat-sahabat kiriman email daripada seorang ahl bait Rasulullah sallallahu 'alaihi wa aalihi wa shohbihi wa sallam yang cinta sekali beliau dengan gelar Salsabila, terjemahannya juga hasil buah tangan ahl bait Rasulullah sallahu 'alaihi wa aalihi wa shohbihi wa sallam, Habib Taufik Jamalullail. Mudah-mudahan kalian tergolong itrah yang Baginda Nabi banggakan sehingga detik kalian kembali berkumpul bersama Datuk kalian yang mulia, Saiyyidul Kaunain wa al-Tsaqalain, sallallahu 'alaihi wa aalihi wa shohbihi wa sallam dan mudah-mudahan kami diberi rezeqi menyertai kalian.


جُدْ بِلُطْفِكْ يَا إِلَهِي مَن لَهُ زَادٌ قَلِيلُ

Kurniakan dengan kelembutan-Mu wahai Tuhanku bagi sesiapa yang sedikit bekalannya

مُفْلِسٌ بِالصِّدْقِ يَأتِي عِندَ بَابِكْ يَا جَلِيلُ

Dalam keadaan muflis dia datang dengan ketulusan di sisi pintu-Mu wahai Tuhan Maha Tinggi

ذَنبُهُ ذَنبٌ عَظِيمٌ فَاغْفِرِ الذَّنبَ الْعَظِيمَ

Dosanya adalah dosa yang besar, maka ampunkanlah dosa besar tersebut

إِنَّهُ شَخْصٌ غَرِيبٌ مُذْنِبٌ عَبْدٌ ذَلِيلُ

Sesungguhnya dia itu adalah orang dagang, berdosa dan hamba yang hina

كَيْفَ حَالِي يَا إِلَهِي لَيْسَ لِي خَيْرُ اْلأَعْمَالِ؟

Bagaimanakah keadaanku wahai Tuhanku, aku tidak memiliki amalan-amalan baik?

سُوءُ أَعْمَالِي كَثِيرٌ زَادُ طَاعَاتِي قَلِيلُ

Amalan jahatku banyak sekali sedangkan bekalan ketaatanku amat sedikit


Allahumma sholli wa sallem wa baarik alaihi wa 'ala aaleh wa ashhabeh...

Friday, January 9, 2009

GAZA under Fire!


Penghulu segala hari menyaksikan titisan airmata saudara-saudara Islam di UIA berguguran di atas sejadah-sejadah merah yang akan menjadi saksi mereka di yaumul qiamah. Gugur airmata mereka apabila khatib, Dr. Abdul Razak membacakan doa buat saudara-saudara di Palestin pada akhir khutbah beliau bersama doa tawassul pada Baginda Nabi sallallahu ‘alaihi wa alihi wa shohbihi wa sallam. Gugur lagi airmata apabila imam turut membaca qunut nazilah di dalam solat fardhu Jumaat. Selesai salam, imam sekali lagi mngajak semua makmum bangun untuk melakukan solat hajat 2 rakaat secara berjamaah untuk keselamatan dan kejayaan mujahidin di Palestin. Esak tangis kedengaran lagi, Allah…

Sejenak terfikirkan, kalaulah begini sekali kesedihan ummat Islam buat saudara-saudara seagama mereka, bagaimana kira-kira kesedihan Baginda Nabi sallallahu ‘alaihi wa alihi wa shohbihi wa sallam melihatkan keadaan ummat Baginda dizalimi saban hari. Kita melihat di dada-dada akhbar ratap tangis ibu bapa di Palestin apabila putra-putri dan sanak-saudara mereka terkorban dalam mempertahan diri dan tanahair mereka, bagaimana pula keadaan hati Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa alihi wa shohbihi wa sallam apabila ummat Baginda disakiti tanpa belas kasihan. Bukankah kasih Baginda buat ummat mengatasi kasihnya ibu dan ayah pada anak-anak mereka? Masih lekatkah dalam ingatan kita betapa bimbangnya Baginda akan nasib dan keadaan seluruh ummat Baginda hatta tika pada saat-saat akhir sebelum wafatnya Baginda, masih ungkapan “ummati, ummati, ummati” juga yang meniti di bibir Baginda yang mulia.


Allahumma sholli wa sallem wa baarik alahi wa’ala aaleh wa ashabeh…


Friday, January 2, 2009

Crying

One ahl bait Rasulullah sallallahu 'alaihi wa aalihi wa shohbihi wa sallam asked me, why girls like to cry very much? I defenced my self with such reasons and I better share with you next time insyaAllah because I would like to cry now...

Allahumma sholli wasallem wabaarek 'alaihi wa'ala aaleh wa ashabeh