Monday, February 9, 2009

Imam ‘Ali Zainal Abidin (episod satu)

Zuriat Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa aalihi wa shohbihi wa sallam yang seorang ini memang luar biasa sekali kesolehannya. Beliau merupakan imam keturunan ahl bait Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa aalihi wa shohbihi wa sallam yang paling dicintai oleh kaum muslimin pada zaman beliau.


Ayahanda beliau tak lain tak bukan cucunya Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa aalihi wa shohbihi wa sallam Al-Hussain r.a. bin Ali bin Abu Thalib, suami Saiyidatuna Fathimah Az-Zahra binti Muhammad Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa aalihi wa shohbihi wa sallam. Bonda beliau merupakan seorang wanita bangsawan, cucu Maharaja Persia Dinasti Sassanid, Yazdajird (Yazdajard) yang bernama Syah Zinan (juga disebut Syaha-Zinan) atau Syahrbanu. Beliau juga merupakan satu-satunya putera Saidina Hussain yang terselamat ketika tragedy Karbala.


Gelar “Ali Zainal Abidin” yang bermakna ‘Orang Terbaik Yang Bersembah Sujud Kepada Allah’ atau ‘Penyembah Allah yang Terbaik’ diberikan oleh kaum muslimin ketika beliau menginjak umur dewasa sedang nama asal beliau adalah ‘Ali Al-Ausath. Imam ‘Ali Zainal Abidin lahir tanggal 5 Sya’ban tahun 50 Hijriah dan beliau dibesarkan dalam suasana masyarakat yang bergolak dan bencana fitnah yang melanda kaum muslimin. Pemberontakan bertali arus sejak peristiwa pembunuhan Khalifah Uthman bin Affan radhiallahu’anhu. Kemelut yang melanda menjadikan Imam ‘Ali Zainal Abidin berfikiran dewasa mengatasi umur beliau ditambah dengan ke’arifannya beliau berkat asuhan dan didikan keluarga ahl bait Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa aalihi wa shohbihi wa sallam.


Disebabkan bonda beliau wafat ketika beliau masih kecil, beliau dibesarkan dan diasuh secara langsung oleh ibu saudara beliau sendiri. Ibu saudara beliau, Saiyyidah Zainab binti Ali bin Ali bin Abu Thalib r.a merupakan saudara kandung Saidina Hassan dan Saidina Hussain. Bermakna, Imam Ali Zainal Abidin mendapat tarbiyah langsung daripada tiga orang Ahl Bait Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa aalihi wa shohbihi wa sallam iaitu Saidina Hassan, Saidina Hussain dan Saiyyidah Zainab binti Ali radhiallahu ‘anhum.


Berkat kehidupan di dalam lingkungan keluarga yang soleh dan penuh taqwa, maka ‘Ali al-Ausath menjadi seorang kanak-kanak yang soleh dan gemar beribadah, giat berpuasa, tekun bersembahyang dan sangat gemar membantu orang yang berada di dalam kesusahan. Maka layaklah masyarakat memberikan gelar ‘Zainal Abidin’ kepada beliau. Kaum muslimin juga memberikan julukan sebagai ‘As-Sajjad’ kepada beliau yang bermakna ‘Orang yang selalu bersembah sujud kepada Allah’.


Tidak seperti anak-anak kecil yang lain, beliau seolah-olah tidak pernah membuang waktu dengan sia-sia untuk bermain atau bergurau dengan kawan-kawan sebaya melainkan seluruh masa kanak-kanak beliau dimanfaatkan untuk menuntut ilmu agama yang diberikan oleh para pengasuh yang juga pendidik beliau. Sejarah sendiri menjadi saksi bahawa cicit Rasulullah yang seorang ini benar-benar terkenal sebagai orang yang sangat taqwa kepada Allah dan patuh kepada sunnah RasulNya.


Daripada sekian banyak kisah ketaqwaan beliau, alfaqirah memetik satu kisah yang dinukilkan oleh salah seorang putera beliau sendiri yang bernama Muhammad Al-Baqir bin ‘Ali Zainal Abidin. Beliau menceritakan, “Pada saat sedang solat, ayahku demikian khusyuk berdiri hingga tak ada bezanya dengan seorang budak yang hina-dina berada di hadapan Maharaja terbesar di dunia. Begitu khusyuk ayahku solat seakan-akan sedang menunaikan solat terakhir dalam hidupnya”.


Pada larut malam yang gelap gelita saat manusia sedang nyenyak tidur, Imam ‘Ali Zainal Abidin sering menyelinap keluar dari rumah untuk mendatangi khemah-khemah atau rumah-rumah kaum faqir miskin. Sambil memikul sendiri beberapa kantung gandum, beliau berjalan cepat sambil menoleh ke kanan dan ke kiri lantaran khuatir kalau-kalau ada orang yang melihat beliau. Apabila sampai ke tempat yang dituju, dengan gerak-geri yang sangat berhati-hati beliau akan meninggalkan sekampit gandum di depan pintu khemah atau rumah yang didatangi beliau. Secepat beliau datang, secepat itu juga beliau meninggalkan tempat itu dengan tetap membisu. Dengan berjalan setengah lari beliau menghilang dalam kegelapan malam menuju ke tempat lain dengan tujuan yang sama.


Sememangnya perbuatan ini aneh dan menjadi tanda-tanya pada seluruh penduduk kerana ianya terjadi berkali-kali. Justeru banyak orang membicarakan ‘rezeki ghaib’. Ada yang mengatakan ia dibawa oleh Malaikat dari langit dan mereka berbahagia kerana menganggap beroleh perhatian dari langit melalui Malikat Allah. Ada juga yang mengatakan ‘rezeki ghaib’ itu didatangkan oleh jin dan mereka bimbang kiranya jin itu inginkan balasan atas kebaikannya. Imam Ali Zainal Abidin tidak menghiraukan sama sekali komen-komen sumbang daripada orang banyak pada ketika itu. Beliau membiarkan orang menyebut pembawa rezeki itu dengan nama apa saja sedang yang paling penting bagi beliau adalah menunaikan ikrar yang beliau ucapkan sehari-hari: inna sholati wa nusuki wa mahyaya wa mamati lillahi Rabbil ‘alamin- sesungguhnya solatku, amal kebajikanku, hidupku dan matiku hanyalah demi Allah semata-mata.


Rahsia kebaikan Imam Ali Zainul Abidin tersimpan kemas sehinggalah beliau pulang ke rahmatullah. Maka lenyaplah cerita tentang ‘Malaikat’ dan ‘jin’ yang datang berulang-kali untuk memberikan makanan secara sembunyi-sembunyi kepada kaum faqir miskin. Amr bin Tsabit menceritakan, ketika jenazah putera Al-Hussain radhiaallahu’anh itu dimandikan, tampak kulit menebal berwarna kehitam-hitaman pada punggung beliau dan mereka saling bertanya sesama sendiri. Kemudian ada yang menjawab, “Itu bekas beban berat yang dipikul beliau pada malam hari, iaitu kampit-kampit gandum yang dihantar sendiri berulang-ulang kali kepada kaum faqir miskin dan orang-orang yang memerlukan di Madinah!”


Allahumma sholli wa sallem wa baarik 'alaihi wa 'ala aaleh wa ashabeh....

1 comment:

  1. Allahumma solli 'ala sayyidina Muhammad wa 'ala alihi wa sohbihi aj jemain...

    ReplyDelete