Wednesday, February 11, 2009

Perginya Seorang QS

Airmata yang murah ini gugur lagi apabila mendapat sms daripada kawan sekelas, Haiza. Sms yang masuk tepat jam 09:24:49 malam tadi membawa khabar kematian teman sekelas kami yang saya hormati kerana beliau beberapa tahun lebih tua daripada saya. Berlegar di ruang mata detik terakhir saya melihat beliau di dalam studio, kelas Measurement Jumaat lepas. Beliau datang ke meja kami untuk meminjam liquid paper pada hari itu. Selepas beberapa ketika beliau kembali ke meja kami untuk memulangkan barang tersebut kepada Dzun Nur’ain dan beberapa kali mengucapkan terima kasih. Allahu Allah, betapa detik terakhir itu akan menjadi ingatan saya buat selama-lamanya.

Dalam tempoh final semester kami yang berbaki hanya kurang lebih dua bulan, saat kematian itu tidak dapat ditangguhkan lagi. Jangankan untuk tempoh dua bulan, untuk detik sesaat saja Allah tak izinkan Malaikat yang ditugaskan untuk mengawalkan atau mengakhirnyakannya apabila detik dan ketikanya telah tertulis di Luh Mahfuz. Tepat pada saat itu juga nyawa kita akan ditarik keluar daripada jasad. Maka kakulah seluruh anggota yang selama ini diberi leluasa untuk berbuat taat atau maksiat. “Lakukan apa saja tapi ingat bahawa kamu akan kembali bertemu Allah yang telah Menciptakan kamu dan kamu akan dipersoalkan atas segala amal perbuatan kamu”.

Rasa sebak tak tertahan lagi apabila saya membayangkan kiranya saya yang berada di tempat beliau dan saya yang dijemput kembali bertemu Allah dalam kejadian petang semalam, kemalangan motorsikal bertembung dengan lori di Jalan Greenwood, Gombak. Bagaimana kira-kira keadaan saya kembali menghadap Allah Ta’ala. Sedang Allah yang Bersangatan Baik itu berulang kali mengingatka kita akan pastinya detik kematian yang akan datang bertandang dalam keadaan kita bersedia atau sebaliknya. Entah bagaimana hamba dapat mengadapMu Tuhan? Apa amalan yang dapat hamba persembahkan kepadaMu selain keingkaran dan kelalaian hamba sepanjang diberi umur hidup di atas dunia yang Engkau ciptakan semata-mata untuk kami ber’ubudiyah ke-HadratMu jua. Alfaqirah teringat kata-kata Habib Munzir al-Musawa tentang detik kematian yang bakal menjelang.

“Ingatlah, akan tiba saat lidah kita takkan bergetar lagi untuk menyebut nama Allah. Pada saat itu kita diturunkan ke dalam kubur kita, wajah kita dibuka dan diciumkan ke tembok kubur kita dan kita ditinggalkan sendiri”

Takziah buat keluarga beliau terutama isteri beliau dan dua orang cahayamata mereka. Mudah-mudahan semua ahli keluarga beliau dikurniakan rasa redha dan sabar dengan musibah yang melanda. Sesungguhnya Allah takkan sekali-kali melakukan perkara yang sia-sia melainkan ada hikmah yang tersembunyi di dalam lipatan sirr(rahsia)Nya. Syabas dan jutaan terima kasih kepada kawan-kawan sekelas daripada kalangan Brothers yang mewakili kami semua berkejar ke hospital sebagai penghormatan yang pertama kepada beliau. Tengahari tadi jenazah beliau selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam sekitar Taman Melawati rasanya, tidak dibawa pulang ke Perlis. Alhamdulillah, washolatu wassalamu 'ala Rosulillah sallallahu 'alaihi wa aalihi wa shohbihi wa sallam, kami semua diberi kesempatan oleh Allah untuk memberikan penghormatan terakhir kepada jenazah beliau sebelum beliau dikebumikan. Sungguh hati ini seakan-akan degil untuk menerima kenyataan bahawa beliau telah kembali ke rahmatullah sehinggalah saya melihat sendiri jenazah beliau dalam ziarah takziah tadi Alhamdulillah. Mudah-mudahan roh beliau tergolong dalam kalangan orang-orang yang soleh dan diberi nikmat oleh Allah.

Al-Fatihah buat Brother Azrim……

Monday, February 9, 2009

Imam ‘Ali Zainal Abidin (episod satu)

Zuriat Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa aalihi wa shohbihi wa sallam yang seorang ini memang luar biasa sekali kesolehannya. Beliau merupakan imam keturunan ahl bait Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa aalihi wa shohbihi wa sallam yang paling dicintai oleh kaum muslimin pada zaman beliau.


Ayahanda beliau tak lain tak bukan cucunya Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa aalihi wa shohbihi wa sallam Al-Hussain r.a. bin Ali bin Abu Thalib, suami Saiyidatuna Fathimah Az-Zahra binti Muhammad Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa aalihi wa shohbihi wa sallam. Bonda beliau merupakan seorang wanita bangsawan, cucu Maharaja Persia Dinasti Sassanid, Yazdajird (Yazdajard) yang bernama Syah Zinan (juga disebut Syaha-Zinan) atau Syahrbanu. Beliau juga merupakan satu-satunya putera Saidina Hussain yang terselamat ketika tragedy Karbala.


Gelar “Ali Zainal Abidin” yang bermakna ‘Orang Terbaik Yang Bersembah Sujud Kepada Allah’ atau ‘Penyembah Allah yang Terbaik’ diberikan oleh kaum muslimin ketika beliau menginjak umur dewasa sedang nama asal beliau adalah ‘Ali Al-Ausath. Imam ‘Ali Zainal Abidin lahir tanggal 5 Sya’ban tahun 50 Hijriah dan beliau dibesarkan dalam suasana masyarakat yang bergolak dan bencana fitnah yang melanda kaum muslimin. Pemberontakan bertali arus sejak peristiwa pembunuhan Khalifah Uthman bin Affan radhiallahu’anhu. Kemelut yang melanda menjadikan Imam ‘Ali Zainal Abidin berfikiran dewasa mengatasi umur beliau ditambah dengan ke’arifannya beliau berkat asuhan dan didikan keluarga ahl bait Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa aalihi wa shohbihi wa sallam.


Disebabkan bonda beliau wafat ketika beliau masih kecil, beliau dibesarkan dan diasuh secara langsung oleh ibu saudara beliau sendiri. Ibu saudara beliau, Saiyyidah Zainab binti Ali bin Ali bin Abu Thalib r.a merupakan saudara kandung Saidina Hassan dan Saidina Hussain. Bermakna, Imam Ali Zainal Abidin mendapat tarbiyah langsung daripada tiga orang Ahl Bait Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa aalihi wa shohbihi wa sallam iaitu Saidina Hassan, Saidina Hussain dan Saiyyidah Zainab binti Ali radhiallahu ‘anhum.


Berkat kehidupan di dalam lingkungan keluarga yang soleh dan penuh taqwa, maka ‘Ali al-Ausath menjadi seorang kanak-kanak yang soleh dan gemar beribadah, giat berpuasa, tekun bersembahyang dan sangat gemar membantu orang yang berada di dalam kesusahan. Maka layaklah masyarakat memberikan gelar ‘Zainal Abidin’ kepada beliau. Kaum muslimin juga memberikan julukan sebagai ‘As-Sajjad’ kepada beliau yang bermakna ‘Orang yang selalu bersembah sujud kepada Allah’.


Tidak seperti anak-anak kecil yang lain, beliau seolah-olah tidak pernah membuang waktu dengan sia-sia untuk bermain atau bergurau dengan kawan-kawan sebaya melainkan seluruh masa kanak-kanak beliau dimanfaatkan untuk menuntut ilmu agama yang diberikan oleh para pengasuh yang juga pendidik beliau. Sejarah sendiri menjadi saksi bahawa cicit Rasulullah yang seorang ini benar-benar terkenal sebagai orang yang sangat taqwa kepada Allah dan patuh kepada sunnah RasulNya.


Daripada sekian banyak kisah ketaqwaan beliau, alfaqirah memetik satu kisah yang dinukilkan oleh salah seorang putera beliau sendiri yang bernama Muhammad Al-Baqir bin ‘Ali Zainal Abidin. Beliau menceritakan, “Pada saat sedang solat, ayahku demikian khusyuk berdiri hingga tak ada bezanya dengan seorang budak yang hina-dina berada di hadapan Maharaja terbesar di dunia. Begitu khusyuk ayahku solat seakan-akan sedang menunaikan solat terakhir dalam hidupnya”.


Pada larut malam yang gelap gelita saat manusia sedang nyenyak tidur, Imam ‘Ali Zainal Abidin sering menyelinap keluar dari rumah untuk mendatangi khemah-khemah atau rumah-rumah kaum faqir miskin. Sambil memikul sendiri beberapa kantung gandum, beliau berjalan cepat sambil menoleh ke kanan dan ke kiri lantaran khuatir kalau-kalau ada orang yang melihat beliau. Apabila sampai ke tempat yang dituju, dengan gerak-geri yang sangat berhati-hati beliau akan meninggalkan sekampit gandum di depan pintu khemah atau rumah yang didatangi beliau. Secepat beliau datang, secepat itu juga beliau meninggalkan tempat itu dengan tetap membisu. Dengan berjalan setengah lari beliau menghilang dalam kegelapan malam menuju ke tempat lain dengan tujuan yang sama.


Sememangnya perbuatan ini aneh dan menjadi tanda-tanya pada seluruh penduduk kerana ianya terjadi berkali-kali. Justeru banyak orang membicarakan ‘rezeki ghaib’. Ada yang mengatakan ia dibawa oleh Malaikat dari langit dan mereka berbahagia kerana menganggap beroleh perhatian dari langit melalui Malikat Allah. Ada juga yang mengatakan ‘rezeki ghaib’ itu didatangkan oleh jin dan mereka bimbang kiranya jin itu inginkan balasan atas kebaikannya. Imam Ali Zainal Abidin tidak menghiraukan sama sekali komen-komen sumbang daripada orang banyak pada ketika itu. Beliau membiarkan orang menyebut pembawa rezeki itu dengan nama apa saja sedang yang paling penting bagi beliau adalah menunaikan ikrar yang beliau ucapkan sehari-hari: inna sholati wa nusuki wa mahyaya wa mamati lillahi Rabbil ‘alamin- sesungguhnya solatku, amal kebajikanku, hidupku dan matiku hanyalah demi Allah semata-mata.


Rahsia kebaikan Imam Ali Zainul Abidin tersimpan kemas sehinggalah beliau pulang ke rahmatullah. Maka lenyaplah cerita tentang ‘Malaikat’ dan ‘jin’ yang datang berulang-kali untuk memberikan makanan secara sembunyi-sembunyi kepada kaum faqir miskin. Amr bin Tsabit menceritakan, ketika jenazah putera Al-Hussain radhiaallahu’anh itu dimandikan, tampak kulit menebal berwarna kehitam-hitaman pada punggung beliau dan mereka saling bertanya sesama sendiri. Kemudian ada yang menjawab, “Itu bekas beban berat yang dipikul beliau pada malam hari, iaitu kampit-kampit gandum yang dihantar sendiri berulang-ulang kali kepada kaum faqir miskin dan orang-orang yang memerlukan di Madinah!”


Allahumma sholli wa sallem wa baarik 'alaihi wa 'ala aaleh wa ashabeh....